Sabtu, 29 April 2017 | 4:22pm

Gempa 6.8 magnitud gegar selatan Filipina

LOKASI pusat gempa bumi 6.8 magnitud di selatan Filipina. - Sumber earthquake.usgs.gov
LOKASI pusat gempa bumi 6.8 magnitud di selatan Filipina. - Sumber earthquake.usgs.gov

MANILA: Gempa bumi 6.8 magnitud menggegarkan Filipina awal pagi tadi merosakkan beberapa bangunan dan mencederakan dua orang ketika penduduk yang panik meninggalkan kawasan pantai susulan amaran tsunami.

Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kemungkinan berlakunya tsunami di rantau selatan Mindanao dan Indonesia selepas gempa bumi pada jam 4.23 pagi (2023 GMT) itu.

Bagaimanapun, amaran itu ditarik balik kurang dua jam kemudian.

Penduduk yang sedang lena terbangun dan berlari ke jalan raya ketika gempa menggegarkan kawasan, menyebabkan rekahan di sebuah hospital, dua bangunan kerajaan dan sebuah pelabuhan serta meruntuhkan sebuah rumah serta memutuskan bekalan elektrik.

"Lantai terangkat sebelum bergoncang dengan kuat sebelum lampu tiba-tiba padam.

"Saya berlindung di bawah meja walaupun agak sukar berbuat demikian dalam keadaan gelap dan bumi bergoncang," kata Adrian Morallas yang sedang bekerja di pejabat pertahanan awam di bandar General Santos ketika gempa.

Morallas berkata, penduduk tepi pantai berhampiran General Santos diarahkan berpindah sebagai langkah berjaga-jaga walaupun pihak berkuasa tidak tahu berapa ramai yang meninggalkan rumah.

Menurut USGS, gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 41 kilometer di luar pulau Mindanao.

Institut Gunung Berapi dan Seismologi Filipina memberi bacaan magnitud lebih tinggi iaitu 7.2. Pusat gempat terletak 53 kilometer di luar pantai selatan Mindanao. - AFP

Berita Harian X