Isnin, 24 April 2017 | 11:21am

Korea Utara sedia serang armada kapal pengangkut AS

KOREA Utara, menyatakan kesediaan menenggelamkan kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat (AS).- Foto AP
KOREA Utara, menyatakan kesediaan menenggelamkan kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat (AS).- Foto AP

PYONGYANG: Korea Utara, semalam menyatakan kesediaan menenggelamkan kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat (AS) untuk mempamerkan kekuatan ketenteraan mereka dalam cuma satu serangan.

Retorik itu dikeluarkan ketika dua kapal tentera laut Jepun menyertai armada kapal pengangkut AS untuk berlatih di barat Pasifik.

Presiden Donald Trump mengarahkan armada kapal pengangkut USS Carl Vinson belayar ke perairan di luar semenanjung Korea sebagai reaksi kepada peningkatan ketegangan berhubung ujian nuklear dan peluru berpandu Pyongyang, dan ancamannya untuk menyerang AS dan sekutunya di Asia.

AS tidak menyatakan arah sebenar armada itu ketika ia mendekati perairan berkenaan. Naib Presiden AS, Mike Pence, kelmarin berkata ia akan tiba dalam masa beberapa hari tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

"Tentera kami sudah bersedia melancarkan serangan untuk menenggelamkan kapal pengangkut pesawat AS yang dilengkapi kuasa nuklear dengan satu serangan," lapor akhbar Parti Pekerja yang memerintah negara itu, Rodong Sinmun.

Akhbar berkenaan menyamakan kapal pengangkut dengan 'haiwan liar' dan berkata serangan akan menjadi contoh sebenar untuk menunjukkan kekuatan tentera rejim itu.

Korea Utara akan meraikan ulang tahun ke-85 penubuhan Tentera Rakyat Korea esok. - Reuters

Berita Harian X