Khamis, 20 April 2017 | 12:25am

2 maut serangan bom, tembakan di Selatan Thai

SERANGAN serentak senjata api dan bom berlaku di wilayah Pattani, Songkla dan Narathiwat mulai 7 malam tadi (waktu tempatan). - Foto BERNAMA
SERANGAN serentak senjata api dan bom berlaku di wilayah Pattani, Songkla dan Narathiwat mulai 7 malam tadi (waktu tempatan). - Foto BERNAMA

BANGKOK: Dua lagi penduduk maut dan tiga cedera dalam kejadian keganasan terbaharu membabitkan serangan serentak senjata api dan bom terhadap kira-kira 13 sasaran di tiga wilayah selatan Thailand malam ini.

Serangan itu berlaku di wilayah Pattani, Songkla dan Narathiwat mulai 7 malam tadi (waktu tempatan).

"Anggota keselamatan yang bertugas malam ini diminta berjaga-jaga berikutan serangan serentak yang berlaku," kata jurucakap tentera Bahagian ke-4 Kol Pramote Prom-in sambil menambah serangan berlaku di Kaphor, Yarang dan Mayo di Pattani.

Antara sasaran serangan di ketiga-tiga wilayah itu termasuk balai polis, unit serta pos keselamatan.

Di Narathiwat, tujuh kejadian serangan senjata api dan bom dilaporkan berlaku antaranya di Yingo, Srisakorn, Ranget, Resak, Takbai dan Sungai Padi manakala di Songkla pula, insiden keganasan berlaku di Sabayoi, Chana dan Thepa.

Di Sabayoi, Songkla, dua lelaki maut dipercayai ketika cuba memasang bom yang meledak secara tiba-tiba menurut Penolong Ketua Daerah Sabayoi Somchai Kaewkomdee hari ini.

Wilayah itu menyaksikan pemberontakan yang sudah meragut lebih 6,500 nyawa, kebanyakannya penduduk awam, dalam keganasan pemisah sejak 2004.

Setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu.

Rundingan antara kerajaan Thailand dan beberapa kumpulan pemisah bermula pada 2013 di bawah kerajaan awam pimpinan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra, tetapi digantung sejak tentera merampas kuasa pada 2014. - Agensi

Berita Harian X