Rabu, 19 April 2017 | 12:32pm

Polis dalang kempen dadah Duterte

PRESIDEN Rodrigo Duterte. - Foto AP
PRESIDEN Rodrigo Duterte. - Foto AP

MANILA: Polis Filipina didakwa menerima bayaran tunai untuk membunuh suspek dadah, meletak bukti di lokasi jenayah serta melakukan pembunuhan yang dipersalahkan ke atas pihak lain.

Perkara itu didedahkan dua pegawai kanan polis yang menentang kempen "perang dadah" Presiden Rodrigo Duterte.

Menerusi pendedahan dalaman paling terperinci berhubung kaedah perang itu, kedua-dua pegawai kanan itu mencabar penjelasan kerajaan berhubung pembunuhan terbabit dalam temubual dengan Reuters.

Hampir 9,000 orang, kebanyakannya pengguna dan pengedar dadah kecil-kecilan, dibunuh sejak Duterte mengambil alih jawatan pada 30 Jun lalu.

Menurut polis, kira-kira satu pertiga daripada mangsa ditembak anggotanya kerana mempertahankan diri semasa operasi antidadah yang sah.

Kedua-dua pegawai kanan itu, seorang pegawai risikan yang sudah bersara dan seorang komander yang masih bertugas mendakwa pembunuhan sebenarnya dirancang polis, termasuk sebahagian besar didakwa dilakukan pihak lain.

"Ia adalah perbuatan Polis Kebangsaan Filipina. Mesin pembunuh ini perlu dihentikan." kata pegawai perisikan yang sudah bersara itu.

Beliau mengakui marah dengan kesan pembunuhan itu ke atas disiplin polis dan mahu "mengheret Duterte ke muka pengadilan".

Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan secara bebas sama ada polis menjadi dalang pembunuhan penegak undang-undang tidak dikenali itu. - Reuters

Berita Harian X