Jumaat, 14 April 2017 | 2:11pm

Korea Utara kecam AS

TENTERA Korea Utara. - Foto AP
TENTERA Korea Utara. - Foto AP

PYONGYANG: Korea Utara mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) membawa aset strategik nuklear gergasi ke Semenanjung Korea, dalam laluan armada tempur tentera laut negara itu ke rantau ini.

Tindakan itu dibuat ketika kebimbangan Pyongyang mungkin melancarkan ujian senjata nuklear ke-6.

Kementerian Luar Korea Utara mengeluarkan kenyataan mengecam AS kerana menyerang Syria.

"AS adalah titik panas terbesar di dunia kerana tindakan membawa senjata nuklear terbesar itu mengancam keamanan dan keselamatan, selain boleh mencetus peperangan.

"Keadaan ini mewujudkan situasi berbahaya yang boleh mencetuskan perang termonuklear pada bila-bila masa di semenanjung dan menimbulkan ancaman serius kepada keamanan serta keselamatan dunia," kata agensi berita KCNA, memetik kenyataan itu hari ini.

Ketegangan antara dua negara itu meningkat sejak Tentera Laut AS melepaskan 59 peluru berpandu Tomahawk ke arah lapangan terbang Syria minggu lalu, sebagai tindak balas serangan senjata kimia di negara itu.

Pada masa sama, tindakan itu meningkatkan kebimbangan berhubung rancangan Presiden Donald Trump terhadap Korea Utara yang sudah berkali-kali menjalankan ujian peluru berpandu dan nuklear.

AS memberi amaran dasar kesabaran strategik sudah berakhir. Naib Presiden AS, Mike Pence berada di Korea Selatan pada Ahad lalu dan dijangka mengadakan lawatan 10 hari ke Asia.

Secara teknikalnya Korea Utara masih berperang dengan Selatan selepas konflik 1950-1953 yang berakhir dengan gencatan senjata. - Reuters

Berita Harian X