Jumaat, 7 April 2017 | 1:47pm

Selatan Thailand bergegar

 22 serangan termasuk lima letupan bom kecil dilaporkan di selatan Thailand selepas selepas Raja Maha Vajiralongkorn (kanan) menandatangani Perlembagaan baharu semalam, sebagai langkah ke arah menamatkan pemerintahan tentera. - Foto Reuters
22 serangan termasuk lima letupan bom kecil dilaporkan di selatan Thailand selepas selepas Raja Maha Vajiralongkorn (kanan) menandatangani Perlembagaan baharu semalam, sebagai langkah ke arah menamatkan pemerintahan tentera. - Foto Reuters

BANGKOK: Sebanyak 22 serangan termasuk lima letupan bom kecil dilaporkan di selatan Thailand, beberapa jam selepas Raja Maha Vajiralongkorn menandatangani Perlembagaan baharu semalam, sebagai langkah ke arah menamatkan pemerintahan tentera.

Bagaimanapun, tiada laporan kematian dalam serangan di wilayah yang menyaksikan pemberontakan pemisah Islam itu.

Sebahagian wilayah itu mengundi membantah Perlembagaan baharu dalam pungutan suara tahun lalu.

"Kejadian bertujuan mencetuskan kekacauan. Mereka mahu memusnahkan kredibiliti kerajaan dan menimbulkan ketakutan dalam kalangan rakyat," kata jurucakap pasukan tentera tempatan, Pramote Prom-in.

Tiada pihak mendakwa bertanggungjawab manakala tentera berkata, mereka tidak tahu siapa perlu dipersalahkan.

Raja baharu Thailand menandatangani Perlembagaan disokong tentera itu semalam, langkah penting ke arah pilihan raya yang dijanjikan junta akan mengembalikan demokrasi selepas rampasan kuasa ke-12 dalam masa 80 tahun.

Perlembagaan baharu itu adalah yang ke-20 bagi negara berkenaan sejak berakhirnya monarki mutlak pada 1932.

Pengkritik berkata, ia masih memberikan kuasa kepada pegawai atasan tentera berhubung politik Thai untuk jangka masa lama, walaupun tidak mencecah abad.

Pasukan keselamatan berkata, lima bom meletup di tiang elektrik, menyebabkan bekalan terputus dan beberapa kejadian tayar kenderaan dibakar.

Isnin lalu, polis melaporkan apa yang digambarkan sebagai serangan terbesar pemisah di selatan dalam masa beberapa tahun.

Mereka berkata, 30 pemisah melepaskan lebih 500 das tembakan ke arah pondok polis. - Reuters

Berita Harian X