Sabtu, 25 March 2017 | 12:20am

AS bimbang isu penempatan Israel jejas pelan damai

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump mengulangi kebimbangannya dengan aktiviti penempatan Israel, ketika rundingan berakhir tanpa persetujuan berhubung had pembinaan masa depan di tanah yang dikehendaki Palestin untuk menubuhkan negara mereka.

Pertemuan peringkat tertinggi selama empat hari di Washington itu menunjukkan langkah terbaru pegawai Trump membuka jalan membaharui pelan damai antara Israel dan Palestin, di sebalik keraguan mendalam di AS dan Asia Barat berhubung peluang untuknya berjaya.

Wakil Trump ke Asia Barat, Jason Greenblatt, yang baru-baru ini kembali daripada lawatan ke rantau berkenaan, mengetuai delegasi AS dalam apa yang digambarkan sebagai 'perbincangan intensif' dengan Ketua Turus Staf Israel, Yoav Horowitz dan penasihat dasar luar, Jonathan Schachter.

Walaupun menunjukkan lebih banyak nada positif mengenai Israel berbanding bekas Presiden Barack Obama, Trump menggesa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menghentikan pembinaan buat sementara, ketika lawatan pemimpin rejim Zionis itu ke Rumah Putih bulan lalu.

Rundingan damai antara Israel dan Palestin dibekukan sejak 2014 dan penempatan adalah antara isu paling panas.

Penduduk Palestin mahukan Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur untuk negara mereka, selain Semenanjung Gaza.

Banyak negara menganggap penempatan Israel, yang dibina di tanah yang dirampas pada perang Asia Barat 1967, adalah haram. - Reuters

Berita Harian X