Selasa, 14 March 2017 | 12:20am

Dua kakitangan PBB diculik di Congo

KINSHASA, Congo: Dua kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masing-masing seorang warga Amerika Syarikat (AS) dan Sweden dilaporkan diculik bersama empat lagi rakyat Congo di wilayah tengah Kasai.

Jurucakap kerajaan, Lambert Mende, berkata warga Amerika Syarikat, Michael Sharp dan warga Sweden, Zahida Katalan diculik ketika menaiki motosikal bersama tiga pemandu dan penterjemah warga Congo.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyatakan pihak yang bertanggungjawab terhadap insiden penculikan berkenaan.

Malah, tidak diketahui bila kejadian berlaku yang dipercayai di kawasan perkampungan berhampiran Ngombe.

Pihak berkuasa di wilayah berkenaan sudah memulakan siasatan dan bekerjasama dengan PBB di Congo untuk membebaskan semua tahanan. - AP

Berita Harian X