Rabu, 8 March 2017 | 12:17am

Iran bantah tindakan AS rampas aset di luar negara

TIMBALAN Menteri Luar Iran, Majid Takht Ravanchi. - Foto The Iran Project
TIMBALAN Menteri Luar Iran, Majid Takht Ravanchi. - Foto The Iran Project

TEHRAN: Iran hari ini menyifatkan cubaan peguam Amerika Syarikat merampas asetnya di luar negara untuk dijadikan pampasan kepada mangsa tragedi 11 September 2001, sebagai 'amat tidak adil.'

Pada 2012, hakim New York mengarahkan Iran membayar pampasan AS$7 bilion (RM31 bilion) kepada keluarga dan hartanah mangsa serangan itu, dan menuduh ia membantu al-Qaeda dengan membenarkan anggota pertubuhan itu menggunakan wilayahnya.

Oleh kerana Iran menolak tuduhan dan enggan membuat bayaran, peguam kini cuba mendapatkan wang AS$1.6 bilion (RM7 bilion) yang dibekukan di bank Luxembourg, menurut laporan akhbar The New York Times, semalam.

"Sebahagian penentang Republik Islam Iran cuba meluaskan undang-undang domestik AS yang amat tidak adil dan tidak berasas untuk dilaksanakan di luar negara itu," kata Timbalan Menteri Luar Iran, Majid Takht Ravanchi kepada agensi berita IRNA.

Aset Iran bernilai berbilion dolar dibekukan di AS dan Eropah sebagai sebahagian usaha mendesak Tehran supaya bersetuju dengan rundingan nuklear dengan kuasa dunia, yang akhirnya ditandatangani pada Julai 2015.

Sebahagian aset Iran kekal dibekukan walaupun sudah menandatangani perjanjian, disebabkan kes pampasan yang masih berlanjutan, bukan hanya untuk serangan 2001 tetapi juga pengeboman berek Marin AS di Lubnan pada 1983 yang mengorbankan 241 kakitangan AS.

"Wang Iran yang dibekukan di Luxembourg adalah milik ketika tempoh sebelum rundingan nuklear dan peguam bank negara Iran kini terbabit dalam rundingan untuk mendapatkannya semula," kata Ravanchi. - AFP

Berita Harian X