X
Isnin, 6 March 2017 | 9:12pm

Polis India selamatkan pelacur semuda 13 tahun

POLIS India menyerbu rumah pelacuran yang dikawal anjing di negeri Telangana, menahan 35 orang atas dakwaan menyeludup gadis semuda 13 tahun untuk tujuan seksual. - Foto The Times Islamabad
POLIS India menyerbu rumah pelacuran yang dikawal anjing di negeri Telangana, menahan 35 orang atas dakwaan menyeludup gadis semuda 13 tahun untuk tujuan seksual. - Foto The Times Islamabad

CHENNAI: Polis India menyerbu rumah pelacuran yang dikawal anjing di negeri Telangana, menahan 35 orang atas dakwaan menyeludup gadis semuda 13 tahun untuk tujuan seksual.

Tiga puluh wanita dan gadis diselamatkan dalam serbuan tengah malam 1 dan 2 Mac lalu di daerah Medak, dalam apa yang digambarkan polis sebagai 'kejayaan' dalam membasmi rangkaian penyeludupan seks.

"Rumah pelacuran dikawal anjing besar, termasuk baka Great Danes dan Dobermans, menjadikan usaha memasukinya amat sukar.

"Kami mengambil masa dua bulan untuk merancang operasi kerana pemilik rumah pelacuran mengupah budak muda meronda kawasan kejiranan dengan basikal dan memberi maklumat kepada mereka mengenai serbuan polis," kata jurucakap jabatan siasatan jenayah Telangana, Soumya Mishra.

Dianggarkan ada 20 juta pelacur di India, 16 juta wanita dan remaja perempuan ialah mangsa penyeludupan seks, menurut pertubuhan bukan kerajaan di negara itu.

Di Telangana, lebih 500 kes penyeludupan seks didaftarkan antara 2015 dan 2016, dan hampir 600 penyeludup ditangkap, kata Mishra.

Serbuan minggu lalu menimbulkan kebimbangan mengenai bilangan gadis muda daripada keluarga miskin dan berpecah belah yang terperangkap dalam perdagangan itu. - REUTERS

Berita Harian X