Isnin, 6 March 2017 | 8:19pm

Jangan rampas Tebing Barat - AS

MENTERI Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman. - Foto The Indonesian Post
MENTERI Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman. - Foto The Indonesian Post

BAITULMAQDIS: Menteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman, hari ini berkata sekutu kuatnya, Amerika Syarikat, memberi amaran tindakan merampas Tebing Barat akan membawa kepada 'krisis segera' dengan pentadbiran Presiden Donald Trump.

Lieberman berusaha menolak desakan pihak dalam kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang menggesa Israel mengisytiharkan kedaulatan di seluruh atau sebahagian wilayah dirampas itu.

Katanya, tindakan merampas Tebing Barat akan mencetuskan krisis dengan Washington dan ia akan memberi masalah kepada kerajaan Israel kerana ia perlu menyediakan perkhidmatan kepada penduduk Palestin di Tebing Barat.

"Kami mendapat mesej jelas, secara langsung dari AS menyatakan permohonan melaksanakan undang-undang Israel di Tebing Barat akan mencetuskan krisis dengan pentadbiran baru," kata Lieberman kepada jawatankuasa Parlimen.

Kira-kira 2.6 juta penduduk Palestin tinggal di Tebing Barat, yang diceroboh Israel pada 1967.

Desakan terbaru tindakan merampas wilayah itu disuarakan semalam, apabila ahli perundangan Miki Zohar dari parti Likud pimpinan Netanyahu, berkata dalam temubual televisyen bahawa 'penyelesaian dua negara sudah mati.'

Zohar menyokong penubuhan satu negara tetapi menegaskan penduduk Palestin di Tebing Barat tidak dibenarkan mengundi pada pilihan raya Parlimen Israel. - AFP

Berita Harian X