TOKYO: Gempa bumi berukuran 5.6 magnitud melanda timur laut Jepun berhampiran loji nuklear Fukushima hari ini tetapi tiada risiko tsunami, kata pegawai Jepun dan Amerika Syarikat.
Gegaran itu berlaku pada kedalaman 42.3 kilometer di Lautan Pasifik, kira-kira 34 kilometer ke timur timur laut bandar Namie, kata Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Agensi Kaji Cuaca Jepun berkata, tiada risiko tsunami akibat gempa bumi itu, walaupun beberapa bangunan pencakar langit di Tokyo bergoyang.
Tiada laporan kerosakan atau kecederaan diterima walaupun beberapa perkhidmatan kereta api dihentikan, menurut laporan stesen penyiar, NHK.
Operator di loji nuklear Fukushima, Tokyo Electric Power, berkata tiada kejanggalan dikesan di situ.
Gempa bumi kuat pada 11 Mac 2011 menyebabkan tsunami melanda pantai timur laut negara itu, mengakibatkan lebih 18,500 penduduk maut atau hilang.
Ia juga menyebabkan tiga reaktor di loji nuklear Fukushima bocor.
- TIMES OF INDIA