Isnin, 27 Februari 2017 | 3:48pm

Tempoh siasatan Geun-hye tidak dilanjutkan

PARK Geun-hye. - Foto AFP
PARK Geun-hye. - Foto AFP

SEOUL: Pemangku Presiden Korea Selatan Hwang Kyo-ahn tidak akan melanjutkan siasatan pendakwa raya khas terhadap skandal melingkari Park Geun-hye, yang mungkin menjurus kepada kejatuhan pemimpin itu.

Pejabat Perdana Menteri berkata semalam, pihak pendakwaan khas sudah menjalankan tugasnya dan kini siasatan perlu dirumuskan seperti dijadualkan pada Selasa.

"Selepas pertimbangan, Pemangku Presiden memutuskan, adalah lebih baik untuk tidak melanjutkan siasatan khas demi kestabilan negara dan bagi pendakwaan mengambil alih siasatan," kata jurucakap Kyo-ahn, Hong Kwon-heu ketika taklimat disiarkan televisyen hari ini.

Skandal rasuah itu meletus akhir tahun lalu selepas tuduhan Geun-hye bersekongkol dengan rakan baiknya, Choi Soon-sil untuk memberi tekanan kepada konglomerat besar menyumbang kepada dua yayasan ditubuhkan bagi menyokong inisiatif dasar Presiden Korea Selatan itu.

Skandal itu menjurus bantahan mingguan oleh ratusan ribu rakyat Korea Selatan. Ketika sesetengah penunjuk perasaan menyokong Geun-hye, majoriti mahukannya menjadi pemimpin demokratik pertama dipilih Korea Selatan, dipecat.

Geun-hye, 65, dilucutkan jawatan Disember lalu ketika Mahkamah Perlembagaan memutuskan untuk mengekalkan undian pendakwaan parlimen atau tidak, dengan Kyo-ahn memangku jawatannya. Geun-hye tidak boleh didakwa ketika masih menjadi Presiden.

Skandal itu turut terkena tempias apabila pewaris Samsung Group, Lee Jae-yong ditahan 17 Februari lalu.

Dalam pada itu, jurucakap pasukan pendakwaan khas, Lee Kyu-chul memaklumkan satu taklimat, pihaknya kecewa dengan tindakan Kyo-ahn kerana enggan melanjutkan tempoh siasatan.

"Kami amat kecewa kerana Pemangku Presiden Hwang Kyo-ahn enggan meluluskan permohonan kami melanjutkan tempoh siasatan dalam situasi di mana siasatan belum selesai," katanya. -Reuters

Berita Harian X