Isnin, 27 Februari 2017 | 11:00am

USS Carl Vinson dihantar ke Laut China Selatan

KAPAL pengangkut pesawat USS Carl Vinson. - Foto AP
KAPAL pengangkut pesawat USS Carl Vinson. - Foto AP

BANGKOK: Penghantaran kapal pengangkut pesawat USS Carl Vinson ke Laut China Selatan, tidak sampai sebulan selepas Presiden Donald Trump mengambil alih jawatan itu memberi isyarat Amerika Syarikat (AS) bersedia menonjolkan kehadiran lebih aktif angkatan tentera lautnya di rantau itu.

Pentagon berkata, Carl Vinson, diiringi jet pemusnah peluru berpandu dan pesawat, memulakan 'operasi rutin' di Laut China Selatan sejak 18 Februari lalu. Ia kali terakhir dikerah ke Pasifik Barat pada 2015 apabila menjalankan satu latihan bersama tentera laut dan udara Malaysia.

FOTO diambil pada 7 Februari lalu menunjukkan kapal pengangkut pesawat USS Carl Vinson ketika berada di Lautan Pasifik. - Foto AFP
FOTO diambil pada 7 Februari lalu menunjukkan kapal pengangkut pesawat USS Carl Vinson ketika berada di Lautan Pasifik. - Foto AFP

Seorang pegawai pentadbiran itu bagaimanapun enggan mengulas jika Carl Vinson akan menjalankan operasi kebebasan pelayaran, namun mengakui individu kanan pentadbiran itu bercakap mengenai kepentingan menegaskan hak melakukannya dan menjangka ia dilakukan secara kerap oleh kapal laut AS.

Di bawah pentadbiran bekas Presiden Barack Obama, Tentera Laut AS secara berkala belayar ke jajahan bertelingkah dalam operasi kebebasan pelayaran di Laut China Selatan, namun berdepan gesaan meningkatkannya sebagai tindak balas kempen pembinaan dan tambakan besar-besaran China di tujuh pulau buatannya.

Ketika pengesahan Senat untuk jawatan Setiausaha Negara, Rex Tillerson mencetuskan kontroversi dengan membandingkan pembinaan pulau dan pengerahan aset tentera China kepada pendudukan Russia di Crimea pada 2014, serta mengatakan capaian China ke pulau itu seharusnya tidak dibenarkan.

Setiausaha Pertahanan, James Mattis bagaimanapun menegaskan pentingnya diplomasi dalam penyelesaian pertikaian di Laut China Selatan berbanding pengerahan tentera.

Imej terbaru Pusat Kajian Antarabangsa dan Strategi (CSIS) menunjukkan China hampir selesai membina struktur menempatkan peluru berpandu permukaan ke udara di tiga pulau buatan terbesarnya di Laut China Selatan.

Imej satelit diambil 2 November dan sekali lagi 7 Februari lalu di Terumbu Fiery Cross, Mischief dan Subi menunjukkan lapan bangunan dibina pada setiap tiga terumbu, menurut kumpulan pemikir berkenaan.

CSIS mendakwa ia mungkin dibina untuk menempatkan peluru berpandu HQ-9 yang dihantar China ke Pulau Woody di kepulauan Paracel.

CSIS berkata, China sudah memulakan pembinaan bangunan terbabit antara akhir September dan awal November lalu. -AP

Berita Harian X