Sabtu, 25 Februari 2017 | 10:03pm

Aquino sertai tunjuk perasaan bantah Duterte

Benigno Aquino
Benigno Aquino

MANILA: Bekas pemimpin Filipina, Benigno Aquino, hari ini menyertai ribuan orang yang berhimpun di ibu negara di sini untuk membantah 'kaedah ganas' Presiden Rodrigo Duterte dalam memerangi penyalahgunaan dadah.

Mereka berkumpul di hadapan ibu pejabat polis selepas Senator Leila de Lima ditahan semalam, sebagai satu bantahan ke atas pembunuhan suspek penyalahgunaan dadah oleh pihak berkuasa.

Penunjuk perasaan turut memberi amaran bahawa kempen dilaksanakan Duterte itu seolah-olah mengulangi pemerintahan kuku besi Presiden Ferdinand Marcos yang akhirnya digulingkan dalam Revolusi Kuasa Rakyat (EDSA), lebih 31 tahun lalu.

Ketua penunjuk perasaan itu, Bonifacio Ilagan berkata, rakyat memandang serius kaedah diguna pakai Duterte dalam menangani kes penyalahgunaan dadah di Filipina.

"Kami melihat ia sebagai satu kebangkitan amalan fasis," kata Ilagan yang pernah menderita selama dua tahun di dalam penjara sewaktu pemerintahan Marcos pada era 1970-an.

Duterte yang dianggap pemimpin terbaik pernah dilahirkan Filipina, pada tahun lalu memberi kebenaran kepada keluarga Marcos mengebumikan mayat mendiang di Makam Pahlawan Manila hingga mengakibatkan bantahan besar-besaran rakyat negara itu. - AFP

Berita Harian X