Sabtu, 25 Februari 2017 | 2:38pm

Perbicaraan akhir Geun-hye kekal 27 Februari

PRESIDEN Park Geun-hye.
PRESIDEN Park Geun-hye.

SEOUL: Mahkamah Perlembagaan mengesahkan perbicaraan akhir pemecatan Presiden Park Geun-hye akan diadakan pada Isnin seperti dijadualkan sebelumnya, walaupun mahkamah dalam proses menggantikan seorang daripada hakim yang akan bersara.

Keputusan itu sekali gus menolak gesaan Geun-hye untuk melewatkan perbicaraan akhir itu.

"Sesi akhir akan diadakan pada 27 Februari. Keputusan ini dibuat oleh semua lapan hakim," kata seorang pegawai mahkamah dalam satu taklimat.

Peguam Geun-hye sebelum ini meminta mahkamah untuk membawa lebih ramai saksi dan berkata, mereka akan membantah perbicaraan akhir itu berikutan persaraan pemangku Ketua Hakim, Lee Jung-mi.

Peguam Geun-hye berhujah, mahkamah tidak perlu tergesa-gesa membuat keputusan berikutan persaraan Hakim Jung-mi, sambil menegaskan kepentingan melantik pengganti beliau untuk menjamin hak pertahanan presiden.

Mahkamah Agung berkata ia akan melantik pengganti Jung-mi, yang akan bersara pada 13 Mac ini, bagi mengelakkan kekosongan tambahan di mahkamah yang pada asalnya mempunyai sembilan hakim.

Ia kini mempunyai lapan hakim berikutan persaraan bekas Ketua Hakim Park Han-chul pada 31 Januari lalu. - The Korea Herald

Berita Harian X