Sabtu, 25 Februari 2017 | 7:31am

Gempa bumi di selatan Kepulauan Fiji

KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat bermagnitud 6.6 melanda selatan Kepulauan Fiji, awal pagi ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan berkata, gempa pada jam 1.28 pagi itu berpusat di 672 kilometer (km) dari tenggara Laucala, Fiji dan 7,516 km tenggara Semporna, Sabah.

Bagaimanapun, kenyataan itu menyebut gempa itu tidak membawa ancaman tsunami di Malaysia.

"Berdasarkan lokasi dan magnitud, gempa bumi ini dijangka tidak menghasilkan tsunami yang memberi kesan kepada pantai Malaysia," katanya.

Sementara itu, ribut petir di perairan Sarawak iaitu di kawasan Rejang dan Mukah dijangka berterusan sehingga pagi ini.

Keadaan itu dijangka boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam (kmsj) dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot kecil.

Berita Harian X