Rabu, 22 Februari 2017 | 6:51am

Kawalan keselamatan diplomat berpaling tadah dipertingkat

THAE Yong-ho. - Foto ihsan Yonhap news
THAE Yong-ho. - Foto ihsan Yonhap news

SEOUL: Susulan pembunuhan abang pemimpin Korea Utara minggu lalu di Malaysia, perhatian kini terarah terhadap isu keselamatan Thae Yong-ho, seorang daripada pengkritik profil tinggi kepimpinan Kim Jong-un.

Agensi perisikan Korea Selatan berkata semalam, ia meningkatkan kawalan keselamatan terhadap Yong-ho, bekas timbalan duta Pyongyang ke United Kingdom (UK) yang berpaling tadah kepada Seoul Ogos lalu, susulan pembunuhan Jong-nam.

Perkhidmatan Perisikan Nasional juga dilaporkan mengehadkan kemunculan awam Yong-ho, bimbang pembelot berprofil tinggi itu mungkin menjadi sasaran Pyongyang berikutnya.

"Keputusan itu dibuat apabila agensi perisikan mengesan tanda khusus kemungkinan cubaan membunuh," kata agensi Yonhap dengan memetik sumber yang bekerja bersama Yong-ho di Institut Strategi Keselamatan Nasional.

Yong-ho, bagaimanapun berikrar untuk meneruskan usahanya memberi penjelasan terhadap rejim komunis terasing itu.

"Saya berada dalam kedudukan untuk meneruskan tugas saya menyatukan dua Korea, tidak kira apa juga ancaman yang saya mungkin hadapi," katanya ketika ditemuramah penyiar tempatan, YTN, semalam. -The Korea Herald

Berita Harian X