Selasa, 21 Februari 2017 | 9:06pm

Korea Selatan sedia hadapi provokasi Korea Utara

SEOUL: Tentera Korea Selatan semalam, dilapor mempertingkatkan kawalan keselamatan bagi menghadapi kemungkinan provokasi ketenteraan oleh Korea Utara bagi mengalih perhatian terhadap kes pembunuhan abang pemimpinnya, Kim Jong-un.

"Kami sudah memperkuatkan keselamatan dan pemantauan bagi menghadapi kemungkinan berlakunya provokasi dari Korea Utara," kata pegawai Ketua Turus Bersama yang mahu identitinya dirahsiakan.

Ketika ini, katanya, tentera Korea Utara menjalani latihan musim sejuk dan belum ada aktiviti luar biasa dilaporkan.

Bagaimanapun, beliau berkata: "Kami bersedia menghadapi sebarang kemungkinan".

Pada 13 Februari lalu, Kim Jong-nam, anak lelaki sulung pemimpin Korea Utara, mendiang Kim Jong-il, diserang dua wanita dengan racun ketika menunggu penerbangan ke Macau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2).

Insiden itu memberi tekanan kepada Korea Utara, berikutan kritikan terhadap kekejaman oleh regim pimpinan Jong-un yang disyaki merancang pembunuhan berkenaan.

Sementara itu, kerajaan Korea Selatan yakin Korea Utara bertanggungjawab ke atas kejadian itu, dengan memetik pengumuman polis Malaysia pada Ahad lalu, bahawa sekurang-kurangnya lapan warga Korea Utara terbabit dalam kes berkenaan.

Sementara itu, pemangku Presiden dan Perdana Menteri Korea Selatan, Hwang Kyo-ahn, semalam meminta pegawai kerajaan sentiasa memantau kemungkinan negara terpencil itu melakukan keganasan terhadap rakyat Korea Selatan.

Malah, beliau menggesa pegawai kerajaan dan semua pihak terbabit, termasuk pusat menangani keganasan supaya bersiap sedia.

Korea Selatan turut mengetatkan kawalan terhadap rakyat Korea Utara yang berpaling tadah, termasuk Thae Young-ho, yang juga seorang diplomat kanan berpangkalan di London. - Agensi

Berita Harian X