Selasa, 21 Februari 2017 | 10:48am

Netanyahu takut hilang kuasa jika runding damai

Benjamin Netanyahu dan Isaac Herzog.
Benjamin Netanyahu dan Isaac Herzog.

TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, hampir membekukan pembinaan penempatan di Tebing Barat dan cuba berbaik dengan negara Arab serantau tetapi menarik diri kerana bimbang kehilangan kuasa.

Perkara itu didedahkan pemimpin parti Zionist Union, yang menjadi pembangkang kerajaan Israel, Isaac Herzog.

Herzog berkata, beliau sudah bersedia menyertai kerajaan pimpinan Netanyahu berdasarkan inisiatif pelan damai serantau rahsia anjuran Setiausaha Negara Amerika Syarikat ketika itu, John Kerry.

Namun rundingan tidak berjaya apabila Netanyahu menarik diri berikutan tekanan daripada sekutunya.

"Netanyahu berpaling tadah, bertentangan dengan komitmennya kepada pihak ketiga dan mengingkari persefahaman asas.

"Sejarah akan menilai Netanyahu kerana kegagalan itu," katanya kepada peserta Sidang Kemuncak Tahunan Presiden Pertubuhan Yahudi Amerika di Baitulmaqdis.

Kenyataan Herzog adalah pendedahan terbaru mengenai rundingan damai rahsia yang menggegarkan politik Israel dan menimbulkan keraguan baru berhubung ketulusan komitmen Netanyahu mahukan keamanan di Asia Barat, yang diluahkan pada sidang akhbar di Rumah Putih dengan Presiden Donald Trump minggu lalu.

Bekas pegawai Amerika Syarikat mengesahkan laporan kelmarin dalam akhbar Haaretz bahawa Netanyahu menolak tawaran mendapatkan pengiktirafan serantau Israel sebagai negara Yahudi, tuntutan utama beliau, selain menghidupkan semula rundingan damai dengan Palestin dengan sokongan negara Arab. - HINDUSTAN TIMES

Berita Harian X