Isnin, 20 Februari 2017 | 1:29pm

Duterte didakwa biayai pembunuhan di Davao

PESARA pegawai polis Arthur Lascanas (tengah) bersama peguam Arno Sanidad (kiri ) dan Jose Manuel Diokno pada sidang akhbar di Senat Filipina di bandar Pasay pinggir bandar, selatan Manila, Filipina. - Foto AP
PESARA pegawai polis Arthur Lascanas (tengah) bersama peguam Arno Sanidad (kiri ) dan Jose Manuel Diokno pada sidang akhbar di Senat Filipina di bandar Pasay pinggir bandar, selatan Manila, Filipina. - Foto AP

MANILA: Polis mendakwa pembunuhan yang berlaku di bandar raya Davao dibuat atas arahan Datuk Bandar, Rodrigo Duterte, yang kini Presiden Filipina.

Menurut bekas anggota polis yang mendakwa beliau adalah antara anggota 'skuad pembunuh Davao', yang ditugaskan menghapuskan penjenayah.

Arturo Lascanas yang sudah bersara, berkata beliau pernah membunuh hos radio yang mengkritik Duterte atas arahan pemandu dan orang kanan beliau.

Malah, Duterte dikatakan membayar wang kepada polis supaya melakukan pembunuhan.

Duterte sebelum ini, berulang kali menafikan pembabitannya dalam tindakan di luar undang-undang itu sama ada sebagai presiden, atau ketika menjadi Datuk Bandar Davao selama 22 tahun sehingga lewat 2015.

Beliau serta polis turut menafikan kewujudan pasukan pembunuh Davao dan menyifatkan ia sebagai fiksyen.

"Daripada semua pembunuhan yang kami lakukan di Bandar Raya Davao, sama ada menanam mereka atau melempar mereka ke dalam laut, ia dibayar oleh Datuk Bandar Rody Duterte.

"Kebanyakan masa kami dibayar 20,000 peso (RM1,779), kadang-kala dibayar 50,000 peso (RM4,448) dan bergantung kepada status sasaran, ia boleh mencecah 100,000 (RM8,896)," katanya kepada sidang akhbar di Senat di Manila, hari ini.

Setiausaha Komunikasi Presiden, Martin Andanar, dalam temubual dengan CNN Filipina, menyifatkan dakwaan Lascanas sebagai sebahagian drama politik berlarutan dan cubaan membunuh karektor Duterte oleh pengkritiknya.

Reuters

Berita Harian X