X
Isnin, 20 Februari 2017 | 11:30am

PM Korea Selatan dakwa Korea Utara makin kejam, ganas

PERDANA Menteri Korea Selatan, Hwang Kyo-ahn. - Foto AFP
PERDANA Menteri Korea Selatan, Hwang Kyo-ahn. - Foto AFP

SEOUL: Pembunuhan Kim Jong-nam abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, membuktikan kekejaman rejim itu selain 'semakin berani melaksanakan taktik keganasan', kata Perdana Menteri Korea Selatan, Hwang Kyo-ahn, hari ini.

Pegawai Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) juga percaya, Jong-nam, 46, dibunuh ejen Pyongyang. Diplomat Korea Utara di Kuala Lumpur berusaha keras menghalang bedah siasat dilakukan ke atas mayatnya dan menuntut supaya mayat mendiang segera diserahkan kepada negara itu.

Polis Malaysia semalam berkata, mereka menahan seorang lelaki warga Korea Utara yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pembunuhan Jong-nam, manakala empat lagi suspek dikatakan sudah melarikan diri pada hari serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Kyo-ahn ketika berkata pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara, bahawa hampir pasti Korea Utara mendalangi pembunuhan Jong-nam, anak lelaki sulung mendiang pemimpin negara itu, Kim Jong-il.

"Pembunuhan yang dilakukan secara terbuka di lapangan terbang antarabangsa di Malaysia tidak dapat dimaafkan dan ia adalah tindakan jenayah tidak berperikemanusiaan. Ia jelas menunjukkan kegopohan dan kezaliman rejim Korea Utara yang sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan sendiri.

"Seperti yang kita lihat dalam kes ini, taktik keganasan rejim Korea Utara semakin berani dan kita perlu berwaspada mengenai kemungkinan ia melancarkan keganasan terhadap kerajaan dan rakyat Korea Selatan," katanya.

Selain lelaki Korea Utara, pihak berkuasa Malaysia turut menahan dua wanita, masing-masing warga Vietnam dan Indonesia berkaitan pembunuhan itu.

Reuters

Berita Harian X