Sabtu, 18 Februari 2017 | 8:05pm

Duterte sedia letak jawatan

PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto Reuters
PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto Reuters

MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, sedia melepaskan jawatannya jika ahli perundangan pembangkang, Senator Antonio Trillanes III, dapat membuktikan dakwaan Duterte mengumpul kekayaan secara tidak sah.

Trillanes mendakwa Duterte menyembunyikan maklumat mengenai lebih dua bilion peso (RM177 juta) yang disimpan dalam akaun bank sebagai bekas Datuk Bandar Davao.

"Jika Trillanes boleh membuktikan dakwaannya saya mengumpulkan dua bilion peso secara haram atau jika akaun bank dengan nama saya mempunyai simpanan walaupun cuma setengah bilion, saya akan meletak jawatan serta-merta," kata Duterte dalam kenyataan yang disiarkan di akaun Facebook unit akhbarnya.

Duterte juga menasihatkan Trillanes supaya ke mahkamah dan memfailkan kes dan mencadangkan beliau 'menutup mulut jika tiada apa hendak dikatakan.'

Jurucakap presiden, Ernesto Abella, kelmarin berkata, Duterte tidak akan mendedahkan butiran bank 'semata-mata untuk memuaskan hati orang lain' tetapi beliau mungkin berbuat demikian sebagai sebahagian proses perundangan. - Sputnik News

Berita Harian X