Rabu, 15 Februari 2017 | 4:31pm

Kim Jong-Nam pernah rayu tidak dibunuh

SEOUL: Ketua agensi risikan Korea Selatan memaklumkan, abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un yang dibunuh di Malaysia pernah merayu supaya tidak dibunuh selepas satu cubaan pembunuhan Kim Jong-Nam gagal pada 2012.

Jong-Nam maut selepas dilaporkan diserang dua wanita dipercayai ejen Korea Utara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada Isnin lalu.

Beliau adalah anak sulung mendiang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Il.

Beliau sebelum ini dilihat sebagai waris pemerintahan, namun terkeluar daripada senarai selepas satu percubaan gagal untuk masuk ke Jepun menggunakan satu pasport palsu melawat Disneyland.

Sejak itu, beliau hidup dalam buangan, kebanyakannya di Macau, China sementara Jong-Un mengambil alih pemerintahan negara kuasa nuklear terasing itu selepas kematian bapanya pada Disember 2011.

Susulan satu taklimat tertutup oleh ketua Perkhidmatan Risikan Nasional, Lee Byung-Ho, pembuat undang-undang Korea Selatan berkata, Pyongyang pernah cuba membunuh Jong-Nam, pada 2012.

Difahamkan, beliau dikenali sebagai penyokong kuat reformasi di negara itu.

 KIM Jong-Nam. - Foto AFP
KIM Jong-Nam. - Foto AFP

"Menurut Byung-Ho, ada cubaan pembunuhan pada 2012 dan pada April 2012. Jong-Nam menghantar satu surat kepada Jong-Un menyatakan, 'Tolong lepaskan saya dan keluarga'," kata ahli jawatankuasa risikan parlimen, Kim Byung-Kee.

"Surat itu turut menyatakan 'Kami tiada tempat untuk pergi, kami tahu satu-satunya cara adalah dengan membunuh diri, " katanya, sambil menambah Jong-Nam tidak mempunyai banyak sokongan politik di negara itu dan bukan satu ancaman besar untuk Joun-Un.

AFP

Berita Harian X