Sabtu, 11 Februari 2017 | 7:07am

Tiga terbunuh gempa bumi di selatan Filipina

KEADAAN bangunan yang rosak akibat gempa bumi di Surigao. - Foto AFP
KEADAAN bangunan yang rosak akibat gempa bumi di Surigao. - Foto AFP

MANILA: Sekurang-kurangnya tiga terbunuh selepas gempa bumi menggegarkan selatan Filipina, semalam menyebabkan ribuan penduduk lari meninggalkan kediaman masing-masing.

Gempa bumi berukuran 6.5 magnitud itu turut memutuskan bekalan elektrik ke kawasan Surigao, yang terletak lebih 700 kilometer ke tenggara Manila.

Setakat ini, jumlah mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan masih belum diketahui.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya, tujuh orang dilaporkan cedera akibat terkena serpihan runtuhan yang dilaporkan berlaku pada kedalaman 27 kilometer oleh Kajian Geologikal Amerika Syarikat pada jam 10.00 malam, semalam (1400 GMT).

Sementara itu, pejabat seismologi Filipina merekodkan gempa bumi dengan kekuatan 6.5 magnitud dengan pusat gempa terletak 14 kilometer di utara Surigao.

Namun, Pusat Amaran Tsunami Pasifik tidak mengeluarkan amaran ancaman tsunami.

"Kami tidak boleh mengesahkan jumlah sebenar mangsa yang cedera setakat ini kerana masalah bekalan kuasa," kata jurucakap pertahanan awam wilayah, April Sanchez kepada AFP.

Sementara itu, profesor universiti, Rocks Tumadag, berkata kebanyakan penduduk di Surigao berlari menyelamatkan diri ke kawasan tinggi kerana khuatir akan ancaman tsunami.

Malah, katanya, gegaran susulan masih dirasai beberapa jam selepas gempa bumi berkenaan.

"Saya sedang tidur ketika gempa bumi berlaku. Sebaik sahaja ia berhenti, saya terus mengambil anak perempuan bongsu saya dan lari keluar rumah.

"Isteri saya turut lari keluar bersama anak perempuan sulong saya. Kami sudah melalui pelbagai keadaan gempa bumi tetapi ini yang paling kuat," katanya. - AFP

Berita Harian X