Jumaat, 10 Februari 2017 | 9:42am

India nafi bina 'bandar nuklear' rahsia

JURUCAKAP Kementerian Hal Ehwal Luar Pakistan, Nafees Zakaria. - Foto Samaa TV
JURUCAKAP Kementerian Hal Ehwal Luar Pakistan, Nafees Zakaria. - Foto Samaa TV

NEW DELHI: India, semalam menyifatkan dakwaan Pakistan bahawa negara itu sedang membina sebuah 'bandar nuklear' secara rahsia sebagai 'tidak berasas'.

Jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar Pakistan, Nafees Zakaria membuat dakwaan itu pada sidang akhbar di Islamabad.

Nafees mendakwa India sedang menghasilkan senjata termonuklear dan membangunkan peluru berpandu antara benua, selain mengumpul bekalan bahan nuklear.

Bagaimanapun, beliau tidak menyebut sebarang bukti untuk menyokong dakwaan itu.

Dakwaan itu timbul ketika kedua-dua negara yang memiliki senjata nuklear itu terbabit dalam peperangan bagi merebut wilayah Kashmir yang dipertikaikan.

Ketegangan antara Islamabad dan New Delhi baru-baru ini meningkat ketika keganasan terus berlaku di Kashmir.

Selain dakwaan berkenaan, Pakistan turut menuduh India menaja serangan keganasan di Pakistan, berdasarkan bukti yang dikongsi Islamabad dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Ini benar-benar dakwaan yang tidak berasas. Apa yang dikatakan sebagai bandar nuklear rahsia hanyalah imaginasi Pakistan," kata jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar India, Vikas Swarup.

Pakistan diisytihar sebagai negara kuasa nuklear pada 1998 selepas menjalankan ujian nuklear sebagai tindak balas kepada ujian sama dilakukan India. - Hindustan Times

Berita Harian X