Ahad, 5 Februari 2017 | 9:46pm

Tentera sedia bertindak balas terhadap komunis

PRESIDEN Rodrigo Duterte.
PRESIDEN Rodrigo Duterte.

MANILA: Presiden Filipina memberi amaran, tentera bersedia bertindak balas dengan serangan udara dan tentangan baharu jika pemberontak komunis melancarkan serangan selepas kedua-dua pihak menarik balik gencatan senjata secara berasingan.

Sebelum itu, Presiden Rodrigo Duterte mengumumkan, beliau membatalkan rundingan damai dengan pihak gerila dan mengarahkan perunding kerajaan 'menyimpan khemah dan kembali ke tanah air.'

Beliau menggelar pemberontak 'pengganas' hari ini ketika rundingan selama beberapa bulan diusahakan Norway bertukar ganas selepas Tentera Baharu Rakyat (NPA) membunuh enam anggota tentera dan menculik dua lain dalam keganasan terbaru yang menaikkan kemarahan pemimpin Filipina itu.

Pemimpin Filipina itu juga mengancam memenjarakan perunding pemberontak jika mereka kembali dari rundingan damai di luar negara.

"Mereka adalah penyangak. Saya tidak fikir mereka layak digelar pemberontak. Jelasnya mereka adalah pengganas," kata Duterte hari ini.

Kerajaan dan komunis secara berasingan mengisytiharkan gencatan senjata Ogos lalu.

Duterte meminta ribuan gerila meninggalkan pemberontakan berdarah selama hampir setengah kurun dengan tawaran pembaharuan tanah dan perumahan. - Agensi

Berita Harian X