Rabu, 25 Januari 2017 | 10:35pm

Budak 8 tahun lecur teruk, tiru aksi YouTube

JAMES Ditucci lecur darjah kedua pada tubuhnya selepas meniru aksi lagak ngeri dalam YouTube bersama sepupu dan abangnya.
JAMES Ditucci lecur darjah kedua pada tubuhnya selepas meniru aksi lagak ngeri dalam YouTube bersama sepupu dan abangnya.

BOSTON: Seorang budak lelaki berusia lapan tahun di Amerika Syarikat (AS) lecur darjah kedua pada tubuhnya selepas meniru aksi lagak ngeri dalam YouTube bersama sepupu dan abangnya.

Menurut akhbar Washington Post, James Ditucci bersama sepupunya mencuba aksi itu selepas ibunya menyuruhnya tidur dalam kejadian 16 Januari lalu.

Aksi ditunjukkan dalam YouTube membabitkan mencelup hujung jari ke dalam bahan penyah kuman sebelum membakarnya.

Forbes melaporkan, video itu dilihat sebagai 'kaedah selamat' mengelak tangan terbakar, namun jika hanya mengendalikan gel terbakar selama beberapa saat.

Malangnya, bagi Ditucci, bukan hanya hujung jarinya turut dicelup tetapi bajunya dipenuhi gel penyah kuman itu dan dalam masa beberapa saat, pakaiannya terbakar.

Ibu kanak-kanak itu, Tashia Ditucci, berkata: "Saya mendengar jeritan, tangisan panjang dan mengerikan. Anak lelaki saya turun ke bawah dan dia kelihatan merah, anda dapat lihat lecur di seluruh tubuhnya."

Walaupun abang dan sepupunya segera membantunya memadam kebakaran, Ditucci mengalami lecur darjah kedua pada tangan, dada dan peha.

Menurut Washington Post, kira-kira 15 peratus tubuh kanak-kanak itu cedera. Mangsa kini dirawat di Hospital Kanak-kanak Shriners di sini. -Agensi

Berita Harian X