Jumaat, 13 Januari 2017 | 10:55am

Brazil benar pelabur asing kuasai syarikat penerbangan

SAO PAULO: Kerajaan Brazil dijangka membenarkan pelabur asing menguasai 100 peratus pegangan dalam syarikat penerbangan tempatan, susulan langkah merangka perintah berhubung perkara itu.

Jurucakap Kementerian Pengangkutan berkata, keputusan itu dijangka meningkatkan pelaburan asing untuk melabur dalam industri yang sedang mengalami masalah kemelesetan itu.

Akhbar Valor Econômico ketika memetik sumber yang rapat dengan Presiden Michel Temer semalam, melaporkan perintah presiden itu bakal merangsang industri penerbangan serantau, terutama membabitkan pesawat kecil.

Ia termasuk permintaan terhadap pesawat yang dibina konglomerat aeroangkasa Brazil, Embraer SA.

Selain itu, jurucakap itu berkata, kerajaan juga dijangka mengumumkan keputusan untuk meningkatkan pelaburan di beberapa lapangan terbang.

Valor Econômico juga melaporkan, perintah pemilikan asing itu dijangka diumumkan akhir bulan ini.

Isu pegangan asing dalam syarikat penerbangan Brazil hangat diperdebatkan tahun lalu.

Malah, ketidaktentuan perundangan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pelabur, sama ada undang-undang berkaitan akan diluluskan bagi merangsang semula industri berkenaan. - REUTERS

Berita Harian X