Rabu, 11 Januari 2017 | 3:04pm

Kapal pengangkut pesawat China didakwa ceroboh Selat Taiwan

KAPAL pengangkut pesawat pertama China, Liaoning. -Foto Reuters
KAPAL pengangkut pesawat pertama China, Liaoning. -Foto Reuters

TAIPEI: Kapal pengangkut pesawat pertama China, Liaoning didakwa menceroboh Selat Taiwan, di tengah-tengah ketegangan yang memuncak antara China dan Taiwan.

Taiwan mendakwa selat itu berada di dalam wilayahnya.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Taiwan, Liaoning dalam perjalanan ke barat laut Selat Taiwan, iaitu di kawasan berhampiran sempadan bersama beberapa kapal tempur lain.

Katanya, pihak tentera sedang memantau laluan kapal berkenaan dan meminta supaya orang ramai tidak panik.

Difahamkan, Taiwan sering memantau pergerakan tentera China di seluruh kepulauan itu dengan menggunakan pesawat dan kapal laut.

Namun, Kementerian Pertahanan Taiwan tidak memberikan maklumat lanjut mengenai tindakan diambil terhadap pemantauan itu.

Selat Taiwan sepanjang 160 kilometer sentiasa sibuk dengan jumlah kapal yang menggunakannya untuk ke dua-dua negara.

Ia memisahkan Taiwan dengan bahagian tenggara China. - AP

Berita Harian X