Selasa, 13 Disember 2016 | 9:41am

Lelaki tikam penumpang di stesen kereta api di London

HALANGAN polis di lokasi kejadian seorang lelaki ditikam di stesen kereta api di pinggir ibu kota England. - Foto https://www.theguardian.com
HALANGAN polis di lokasi kejadian seorang lelaki ditikam di stesen kereta api di pinggir ibu kota England. - Foto https://www.theguardian.com

LONDON: Seorang lelaki ditikam di stesen kereta api di pinggir ibu kota England oleh penyerang yang menjerit mahu membunuh umat Islam, kata saksi.

Polis berkata, mereka menahan seorang lelaki berusia 38 tahun berikutan serangan berkenaan yang menyebabkan mangsa, dalam lingkungan usia 40-an, berada dalam keadaan kritikal di hospital.

Saksi, Miguel Oliveira, 36, memberitahu agensi berita Press Association beliau berhadapan dengan penyerang yang menjerit-jerit tanpa henti.

"Beliau berjalan ke arah saya dan menjerit sesuatu seperti 'Matilah orang Islam' dan 'Balik ke Syria'," katanya.

Penduduk tempatan, Shellbu Curry, 24, memberitahu beliau nampak seorang lelaki menghayunkan apa yang kelihatan seperti pisau dan menjerit "Bencilah umat Islam, bunuh mereka semua".

Menurut Polis Pengangkutan Britain, ia menerima laporan seorang lelaki diserang dalam kereta api di stesen Forest Hill di tenggara London pada jam 1.18 petang waktu tempatan.

"Mangsa dibawa ke hospital dengan kecederaan yang konsisten dengan tikaman. Beliau masih di hospital dalam keadaan serius tetapi tidak mengancam nyawa," menurut kenyataan itu.

Lelaki berusia 38 tahun dari London ditahan di lokasi kejadian kerana disyaki melakukan serangan sehingga menyebabkan kecederaan serius. Beliau masih dalam tahanan.

"Kejadian masih disiasat tetapi tidak dianggap jenayah berkaitan keganasan buat masa ini," menurut kenyataan itu. - Agensi

Berita Harian X