Isnin, 12 Disember 2016 | 12:14pm

Korea Utara berlatih tawan Seoul

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un kelihatan gembira sewaktu menghadiri latihan oleh unit khas tentera rejim itu dalam foto ini tidak bertarikh dikeluarkan oleh Agensi Korea Utara Korea Central News (KCNA) di Pyongyang. - Foto REUTERS
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un kelihatan gembira sewaktu menghadiri latihan oleh unit khas tentera rejim itu dalam foto ini tidak bertarikh dikeluarkan oleh Agensi Korea Utara Korea Central News (KCNA) di Pyongyang. - Foto REUTERS

PYONGYANG: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un, menghadiri latihan oleh unit khas tentera rejim itu yang menunjukkan pemusnahan dan penawanan sasaran strategik tertentu di Korea Selatan, termasuk Rumah Biru.

Menurut laporan agensi berita KCNA, Kim yang juga komander tertinggi Tentera Rakyat Korea, memantau latihan tentera oleh unit operasi khas yang dikenali sebagai Unit 525.

"Kim berkata jika anggota unit berkenaan mahu melancarkan perang dengan Korea Selatan, mereka perlu melakukan latihan intensif, dan melengkapkan diri menjadi pejuang perang gerila," menurut laporan KCNA.

Menurut agensi berita Korea Selatan, Yonhap, laporan Televisyen Pusat Korea Utara (NKCT) mengenai latihan itu menunjukkan tentera menawan beberapa sasaran termasuk model Rumah Biru.

Beberapa hari sebelum itu, Pejabat Ketua Turus Staf Korea Selatan (JCS) memberi amaran mengenai kemungkinan provokasi dilakukan negara jiran mereka ketika krisis politik melanda negara itu dan berkata tentera dalam keadaan bersiap sedia.

Beliau berkata, Korea Utara mungkin membuat keputusan itu kerana "salah menilai keadaan".

"Jika Korea Utara melakukan provokasi, ia seolah-olah mereka membunuh diri, kerana akan berhadapan tentangan sengit," kata ketua hal ehwal umum JCS, Jeon Ha-gyu, dalam kenyataan.

Akhbar Russia, Rossiyskaya Gazeta, menyiarkan Korea Selatan dan Amerika Syarikat turut mengadakan latihan tentera termasuk menunjukkan kejayaan merampas wilayah rejim komunis itu, pemusnahan nuklear dan peluru berpandu, pembunuhan Kim dan pegawai atasan Korea Utara. - Agensi

Berita Harian X