Selasa, 6 Disember 2016 | 7:14am

Ketua Menteri Tamil Nadu, Jayalalithaa Jayaram meninggal dunia

CHENNAI: Ketua Menteri Tamil Nadu, Jayalalithaa Jayaram, yang juga salah seorang pemimpin politik paling popular di India meninggal dunia selepas beberapa lama dirawat di hospital.

"Dengan kesedihan tidak terperi, kami mengumumkan bahawa yang amat berhormat ketua menteri Tamil Nadu meninggal dunia pada jam 11.30 malam (waktu tempatan) hari ini (5 Disember)," kata kenyataan Hospital Apollo di Chennai.

Satu lagi laporan berkata, Jayalalithaa meninggal dunia selepas menjalani pembedahan susulan serangan jantung yang dialaminya pada malam Ahad lalu.

Sepasukan doktor merawat bekas bintang filem berusia 68 tahun itu yang menerima status dan dipuja seperti seorang Tuhan di Tamil Nadu.

Ratusan pengikutnya berada hampir setiap masa di hospital swasta berkenaan di ibu negeri Chennai sejak beliau pertama kali dirawat pada September kerana demam.

JAYALALITHAA Jayaram meninggal dunia selepas beberapa lama dirawat di hospital. - Foto fail AFP
JAYALALITHAA Jayaram meninggal dunia selepas beberapa lama dirawat di hospital. - Foto fail AFP

Jumlah mereka bertambah ramai sejak kesihatannya bertambah merosot Ahad lalu.

Perdana Menteri, Narendra Modi merakamkan takziah atas kematian Jayalalithaa.

Parti pimpinannya, AIADMK dalam Twitter berkata: "Pemimpin kesayangan kita, wanita besi India... Amma, sudah tiada."

Kepada berjuta pengikutnya, ketua menteri itu lebih dikenali sebagai "Amma" (ibu).

Sebaik berita mengenai kematiannya tersebar, ribuan penduduk memenuhi jalan raya sepanjang tengah malam untuk melihat ambulans yang membawa mayatnya.

Awal semalam, ribuan penyokong Jayalalithaa merapati dan menangis dengan berkumpul di luar hospital sambil berdoa agar beliau segera sembuh.

Lebih 6,000 anggota polis dari seluruh negeri terpaksa dikerah untuk memastikan keselamatan awam selepas berita kematiannya mungkin mencetuskan rusuhan dan keganasan.

ANGGOTA polis mengawal keselamatan ketika penyokong Jayalalithaa menunggu jenazah keluar dari hospital di Chennai. - Foto AP
ANGGOTA polis mengawal keselamatan ketika penyokong Jayalalithaa menunggu jenazah keluar dari hospital di Chennai. - Foto AP

PENYOKONG Jayalalithaa menangis di luar hospital di Chennai, India. - Foto AP
PENYOKONG Jayalalithaa menangis di luar hospital di Chennai, India. - Foto AP

Negeri jirannya Karnataka menghentikan perkhidmatan bas awam ke Tamil Nadu selepas sebuah basnya diserang pada Isnin.

Konsulat Amerika Syarikat (AS) di Chennai mengeluarkan nasihat kepada warganya agar lebih berwaspada ketika berada di bandar raya berkenaan dan menjauhi daripada kumpulan yang ramai.

Kerajaan Tamil Nadu mengisytiharkan tempoh berkabung selama tujuh hari bermula hari ini.

Sekolah, kolej, pejabat dan perniagaan ditutup selama tiga hari dengan cuti umum dikeluarkan bagi negeri Selatan India itu.

Mayat Jayalalithaa akan diletakkan di Dewan Umum di Chennai bagi membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir.

Tarikh dan masa untuk pengebumiannya masih belum diumumkan apabila kerajaan negeri dikatakan memerlukan lebih masa untuk membuat persiapan dari segi urusan keselamatan apabila ratusan ribu dijangka akan menghadiri upacara berkenaan.

Beberapa jam selepas kematian Jayalalithaa, orang kanan kepercayaannya, O. Panneerselvam, dilantik sebagai ketua menteri yang baharu.

Sebelum menceburi dunia politik, beliau tampil dalam lebih 140 filem termasuk filem Tamil, Telugu, Kannada dan Hindi.

JAYALALITHAA sering dirujuk sebagai Ratu Panggung Tamil.
JAYALALITHAA sering dirujuk sebagai Ratu Panggung Tamil.

Pernah menjadi aktres filem utama antara tahun 1961 hingga 1980, sehingga beliau dianggap bintang paling prolifik dan paling 'versatile' dengan menyertai filem dalam genre yang berbeza serta melakonkan pelbagai watak.

Jayalalithaa juga dikenali kerana kemahiran menari dan sering dirujuk sebagai Ratu Panggung Tamil.

Sebagai aktres beliau serang bekerjasama dengan seorang lagi pelakon yang menjadi ahli politik, M. G. Ramachandran (MGR).

Malah, terdapat spekulasi meluas bahawa orang yang bertanggungjawab membawa Jayalalitha terjun ke dalam politik adalah MGR, namun beliau menafikan dakwaan itu dengan menegaskan beliau menceburi politik atas pilihannya.

Parti diketuai Jayalalithaa, AIADMK (All India Anna Dravida Munnetra Kazhagam) diasaskan penubuhannya oleh MGR yang menjadi montor politiknya.

Pasangan itu kekal rapat sehinggalah kematian MGR pada tahun 1987, apabila isteri dan keluarga aktor berkenaan dikatakan enggan membenarkan permintaan Jayalalithaa untuk melihat mayat MGR.

"Satu pertiga daripada nyawa saya dipengaruhi oleh ibu saya, bahagian lain dipengaruhi oleh MGR," kata Jayalalithaa dalam satu temu bual. - AFP/AP

REAKSI penyokong selepas menerima berita kematian Jayalalithaa di luar hospital di Chennai. - Foto AFP
REAKSI penyokong selepas menerima berita kematian Jayalalithaa di luar hospital di Chennai. - Foto AFP
KERAJAAN Tamil Nadu mengisytiharkan tempoh berkabung selama tujuh hari bermula hari ini. - Foto AFP
KERAJAAN Tamil Nadu mengisytiharkan tempoh berkabung selama tujuh hari bermula hari ini. - Foto AFP
Berita Harian X