Isnin, 5 Disember 2016 | 9:17am

Naib Presiden Filipina dakwa wujud plot jatuhkannya

NAIB Presiden Filipina, Leni Robredo. - Foto fail AFP
NAIB Presiden Filipina, Leni Robredo. - Foto fail AFP

MANILA: Naib Presiden Filipina, Leni Robredo mengumumkan semalam beliau mungkin akan meletak jawatan daripada kabinet Presiden Rodrigo Duterte selepas diberitahu untuk tidak perlu hadir ke mesyuarat dan mendakwa ada plot untuk menjatuhkannya.

Beliau mengakui wujud beberapa perbezaan utama dengan Duterte dari segi prinsip dan nilai-nilai, seperti pembunuhan luar undang-undang bertujuan memerangi dadah dan membenarkan pengebumian bertaraf wira kepada diktator Ferdinand Marcos.

Di Filipina presiden dan naib presiden dipilih secara berasingan. Duterte dan Robredo adalah dari dua parti berbeza.

"Saya diberi amaran mengenai plot untuk mencuri kerusi naib presiden. Saya memilih untuk mengabaikan hal ini dan menumpukan kepada tugas yang ada. Tetapi peristiwa baru-baru ini menunjukkan bahawa plot itu sedang digerakkan," kata Robredo dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.

Beliau dilantik ke kabinet sebagai pegawai perumahan. - Agensi

Berita Harian X