Ahad, 4 Disember 2016 | 8:04am

Angka kematian letupan lombong arang batu kini 59 orang

BEIJING: Angka kematian dalam dua tragedi letupan lombong arang batu berasingan di China meningkat kepada 59.

Letupan pada Sabtu di lombong berkenaan di utara Inner Mongolia membunuh 32 orang, lapor agensi berita Xinhua.

Keseluruhannya, 181 orang bekerja di bawah tanah apabila letupan gas turut menjejaskan lombong di Chifeng, dengan 149 berjaya menyelamatkan diri.

Dalam kejadian berasingan, letupan pada lewat Selasa di lombong persendirian di Bandaraya Qitaihe, di timur laut wilayah Heilongjiang, memerangkap 22 pekerja.

Dua puluh satu disahkan maut malam Jumaat, lapor Xinhua, memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan.

Usaha menyelamat dihalang serpihan letupan di beberapa terowong, menurut laporan awal.

China adalah pengeluar arang batu terbesar dunia dan kemalangan maut kerap berlaku.

Tiga puluh tiga pelombong maut dalam letupan pada 31 Oktober di Chongqing dan pada September, sekurang-kurangnya 18 terbunuh dalam letupan lombong arang batu di wilayah Ningxia. - AFP

Berita Harian X