Selasa, 22 November 2016 | 6:30am

Gempa kuat 7.3 magnitud landa Fukushima

TOKYO: Gempa bumi kuat 7.3 magnitud melanda perairan Fukushima, utara Jepun, awal pagi ini.

Agensi Meteorologikal Jepun berkata amaran tsunami dikeluarkan dengan kemungkinan ombak mencapai ketinggian sehingga tiga meter bagi kawasan pantai di utara.

Sementara itu, Pusat Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa direkodkan di Fukushima pada jam 6 pagi waktu tempatan adalah 6.9 magnitud.

Pusat gegaran gempa direkodkan di kedalaman di 10 kilometer (km) di laut Fukushima dengan gegaran boleh dirasai sehingga di Tokyo.

Gempa berlaku pada jam 5.59 pagi waktu tempatan Jepun.

Sementara itu, tsunami 60 sentimeter (sm) (2 kaki) dilihat melanda Pelabuhan Onahama, Fukushima sebaik gegaran berlaku, lapor stesen penyiaran NHK.

Wilayah Fukushima pernah mengalami tsunami susulan gempa kuat pada tahun 2011.

Tokyo Electric Power Co yang dikenali sebagai Tepco, dalam laman webnya berkata, setakat ini tiada kerosakan ekoran gempa terbaharu itu di semua loji tenaganya meskipun berlaku gangguan bekalan elektrik di beberapa tempat.

Loji nuklear Fukushima Daiichi milik Tepco pernah mengalami bencana nuklear yang teruk pada 2011 apabila berlakunya tsunami.

Tohoku Electric Power Co pula berkata, tiada kerosakan menimpa loji nuklear Onagawa manakala agensi berita Kyodo melaporkan keadaan sama di loji nuklear Tokai Daini di Ibaraki. - AP

Berita Harian X