Isnin, 21 November 2016 | 10:08am

70,000 terputus elektrik taufan landa Perancis

PARIS: Angin kencang menyamai kekuatan taufan menyebabkan hampir 70,000 rumah di barat dan barat laut Perancis mengalami gangguan bekalan elektrik, kata pembekal elektrik, Enedis.

Agensi kaji cuaca kebangsaan, Meteo France, berkata angin selaju 169 kilometer sejam itu melanda semenanjung Breton dan pantai Normandy tengah malam Ahad, dan dua lagi wilayah kekal berjaga-jaga.

Enedis berkata, 33,000 rumah tanpa bekalan elektrik di Normandy, 18,700 di Brittany dan 16,500 di Loire-Atlantique yang terletak di selatan Brittany.

Seorang wanita cedera serius di wilayah pentadbiran Cote d'Armor di Brittany apabila keretanya ditimpa pokok tumbang.

Pasukan bomba di Brittany dipanggil lebih 600 kali pada waktu malam, kebanyakan bagi membantu membersihkan jalan, kata pegawai.

Meteo France berkata, ribut di timur Atlantik bergabung dengan aliran udara yang kuat menuju ke barat laut Perancis, menyebabkan kejadian yang berlaku tiga atau empat kali setahun.

Agensi itu mengekalkan amaran angin kencang bagi tiga wilayah pentadbiran di barat laut dan tiga lagi di tengah. Angin dijangka kembali normal menjelang Isnin. - AGENSI

Berita Harian X