Rabu, 16 November 2016 | 8:15am

Warga Athens berdemonstrasi bantah lawatan Obama

PERTEMBUNGAN antara pasukan polis antirusuhan Greece dengan penunjuk perasaan yang membantah lawatan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke bandar raya itu. - Foto AFP
PERTEMBUNGAN antara pasukan polis antirusuhan Greece dengan penunjuk perasaan yang membantah lawatan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke bandar raya itu. - Foto AFP

ATHENS: Pertempuran ganas tercetus antara polis dan lebih 7,000 penunjuk perasaan di Greece yang membantah lawatan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke bandar raya ini.

Polis antirusuhan menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan ribuan penunjuk perasaan yang mula membanjiri jalan-jalan di pusat bandar Athens, pada Selasa.

Penunjuk perasaan pada mulanya merancang untuk berarak ke arah kedutaan Amerika, namun terganggu akibat pertempuran dengan polis.

Semua bentuk bantahan diharamkan di kota ini sepanjang lawatan Obama, dan polis bertindak meletakkan bas di sepanjang laluan presiden AS itu.

Protes bertukar menjadi ganas selepas penunjuk perasaan cuba untuk memecahkan kepungan polis di sekitar Parlimen Athens dan kedutaan Amerika Syarikat.

Bom petrol turut dilontar ke arah pegawai polis di daerah utara di bandar ini.

Menurut laporan, lebih 5,000 pasukan polis ditempatkan di seluruh bandar untuk membendung penunjuk perasaan.

RT yang memetik seorang wartawan Greece, Aris Chatzistefanou sebagai berkata demonstrasi bagi menyuarakan bantahan terhadap dasar-dasar AS yang mewujudkan ketegangan dengan negara-negara lain di seluruh dunia, terutamanya dengan Russia dan China.

Beberapa kumpulan turut membantah pemilihan Donald Trump sebagai bakal Presiden Amerika Syarikat. - Agensi

Berita Harian X