Isnin, 7 November 2016 | 10:13am

Pelajar 7 tahun menangis bila polis kunjungi rumahnya

LONDON: Pelajar lelaki Islam berusia tujuh tahun di Birmingham menangis selepas dua kereta polis mengunjungi rumahnya kerana sekolahnya tersalah sangka kepingan tembaga yang dibawa ke kelas adalah peluru.

Sekolah Rendah Katolik St Edward menghubungi polis selepas kanak-kanak itu memberitahu kepingan tembaga itu adalah 'peluru' dan memberitahu abangnya, yang dilaporkan menjalani kursus kadet tentera, memegang senjata.

Badan kebajikan yang memantau sentimen anti-Islam, Tell Mama, menyelar tindakan sekolah kerana gagal memaklumkan kepada ibu bapa kanak-kanak itu bahawa beliau dirujuk kepada Polis West Midlands.

"Sama ada ini disebabkan kanak-kanak itu beragama Islam yang membawa kepada tindakan melampau ini, kita tidak akan tahu," kata Tell Mama dalam kenyataan.

Ibu kanak-kanak itu, seorang tenaga akademik di Universiti West Midlands, memberitahu Tell Mama anaknya amat tertekan dan berasa terancam.

"Jelas sekolah atau polis sendiri tahu ia bukan peluru sebenar tetapi tiada siapa mahu menggunakan akal.

"Sebaliknya, ia diperbesarkan dan menyebabkan anak saya amat tertekan dan terancam kerana pegawai polis bertegas mahu menyoalnya secara langsung," kata wanita itu yang tidak dikenali itu.

Beliau meluahkan kemarahan mengenai cara perkara itu diperbesarkan.

"Mereka, sekolah dan polis, berkeras dan mengesyaki kanak-kanak berusia tujuh tahun.

"Mereka membuatkan anak saya tidak mempercayai gurunya selepas mereka memberitahu perkara itu cuma akan dibincangkan dengan ibu bapa dan mereka berurusan dengan kami dengan cara yang tidak akan dilakukan kepada ibu bapa bukan Islam," katanya.

Beliau juga enggan membenarkan polis bercakap dengan anaknya ketika kejadian, menurut Sunday Times.

Guru besar Joanne Kennett, memberitahu sekolah memohon maaf kepada ibu kanak-kanak itu dan menegaskan semua pelajarnya dilayan sama rata.

"Sebagai sekolah Katolik, semua kanak-kanak dilayan sama rata dan kami bangga dengan pengambilan pelbagai latar belakang pelajar dan komuniti," katanya.

Polis West Midlands mengesahkan mereka mengunjungi keluarga berkenaan dan berkata bahan itu bukan peluru dan tiada tindakan selanjutnya diambil. - AGENSI

Berita Harian X