Isnin, 31 Oktober 2016 | 9:05am

Trump serang Clinton berhubung siasatan emel

CALON presiden Republikan, Donald Trump. - Foto Reuters
CALON presiden Republikan, Donald Trump. - Foto Reuters

MIAMI: Calon presiden Republikan, Donald Trump, meningkatkan serangan terhadap Hillary Clinton dengan mengeksploitasi keputusan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) untuk membuka semula siasatan ke atas emel beliau di saat tempoh kempen pilihan raya hampir ke penghujungnya.

Ketika hanya tinggal 10 hari saja lagi sebelum warga Amerika Syarikat keluar memilih sama ada bekas Setiausaha Negara AS atau hartawan Republikan bermulut celupar, Pengarah FBI, James Comey tiba-tiba mencuri tumpuan.

Pada Jumaat, pengarah itu menulis kepada penggubal undang-undang mengenai bukti baharu yang ditemui membabitkan emel berkenaan yang disangka Clinton sudah selesai pada Julai lalu.

Ketika berkempen di Phoenix, Arizona, Trump menggelar pesaingnya sebagai penjenayah dan layak dipenjarakan. Malah beliau menuduh skandal politik itu adalah lebih besar berbanding Watergate.

Sementara itu, calon Demokratik berusia 69 tahun itu menggesa Comey menjelaskan secara terperinci mengapa beliau membuka semula siasatan, sambil menyifatkannya sebagai tindakan yang aneh dan mengelirukan pengundi yang berhak mengetahui kebenarannya. - Agensi

Berita Harian X