Sabtu, 29 Oktober 2016 | 11:19am

Pemisah Syria lancar serangan besar-besaran di Aleppo

ASAP tebal naik ke udara berdekatan laluan menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Aleppo, Syria. - Foto Reuters
ASAP tebal naik ke udara berdekatan laluan menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Aleppo, Syria. - Foto Reuters

ALEPPO: Pemisah Syria melancarkan serangan besar-besaran bertujuan memecahkan kepungan di daerah dikuasai pembangkang selama beberapa bulan di Aleppo, ketika sekutu rejim Russia menangguhkan serangan udara.

Pertempuran sengit, pengeboman dan bom kereta yang menggegarkan bandar raya di utara itu meragut sekurang-kurangnya 18 anggota tentera rejim dan anggota sekutu, menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), tetapi tidak dapat memberikan angka kematian dalam kalangan pemisah.

Pernah menjadi kuasa ekonomi Syria, Aleppo digegarkan dengan konflik yang bermula Mac 2011 dengan bantahan antikerajaan dan sudah membunuh lebih 300,000 orang.

Mengambil alih kawalan bandar raya itu, yang terbahagi antara timur yang dikuasai pemisah dan barat di tangan rejim Presiden Bashar al-Assad, adalah kunci menguasai utara Syria.

Serangan pada Jumaat dilancarkan lebih tiga bulan selepas timur Aleppo dikepung tentera kerajaan, yang dihuni lebih 250,000 penduduk, dan beberapa minggu selepas tentera memulakan operasi menawan semula timur bandar raya itu.

Kumpulan pemisah 'mengumumkan permulaan peperangan memecahkan kepungan di Aleppo', kata komander dan jurucakap kumpulan Ahrar al-Sham, Abu Yusef Muhajir.

Serangan 'akan mengakhiri pencerobohan rejim di barat Aleppo dan memecahkan kepungan terhadap penduduk yang terperangkap,' katanya.

Kumpulan pemberontak kini menguasai sebahagian besar kawasan kejiranan Dahiyet al-Assad, barat daya Aleppo, dengan pengecualian kawasan yang hampir dengan akademi tentera, menurut SOHR. - AFP

Berita Harian X