Ahad, 2 Oktober 2016 | 11:14pm

Britain akan mulakan proses Brexit sebelum April 2017

PERDANA Menteri Britain, Theresa May. - Foto Reuters
PERDANA Menteri Britain, Theresa May. - Foto Reuters

LONDON: Britain akan memulakan proses rasmi meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) sebelum April depan, kata Perdana Menteri Theresa May hari ini, mendiamkan spekulasi beberapa minggu berhubung tarikh tindakan berkenaan.

May mengesahkan rancangannya dalam satu temuramah dengan saluran BBC sebelum berucap dalam persidangan tahunan Parti Konservatif di Birmingham.

"Saya akan bercakap dalam ucapan saya hari ini, bahawa kami akan memulakan proses itu sebelum akhir Mac tahun depan," katanya.

Ketika Perdana Menteri itu sebelum ini memberi bayangan beliau bercadang memulakan tindakan Brexit awal tahun depan, ramai pemerhati membuat spekulasi, beliau akan menunggu sehingga pilihan raya presiden Perancis berakhir Mei depan.

Britain mengundi untuk keluar daripada EU dalam pungutan suara Jun lalu, namun belum secara rasmi memaklumkan blok itu hasratnya dengan menggunakan artikel perjanjian EU yang mencetuskan rundingan.

Berbuat demikian akan menjurus kepada rundingan dua tahun bagi memperincikan hubungan masa depan Britain dengan pasaran tunggal.

Ketika tempoh dua tahun diberi mandat dalam perjanjian EU, ia boleh dilanjutkan oleh satu undian sebulat suara baki anggota blok.

May juga berkata, beliau akan meminta Parlimen memansuhkan Akta Komuniti Eropah, yang secara automatik membolehkan peraturan undang-undang EU terpakai di Britain.

Beliau berkata, kerajaannya sebaliknya akan memasukkan semua undang-undang EU ke dalam undang-undang British dan kemudian memansuhkannya mengikut keperluan.

"Ia bermaksud, United Kingdom akan menjadi sebuah negara bebas dan berdaulat. Ia akan membuat undang-undangnya sendiri," katanya. -AP

Berita Harian X