X
Sabtu, 1 Oktober 2016 | 8:30am

Kashmir: Ban Ki-moon tawar diri jadi orang tengah

SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon. - Foto AP
SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon. - Foto AP

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, pada Jumaat menawarkan diri menjadi orang tengah antara India dan Pakistan bagi mengurangkan ketegangan berhubung wilayah Kashmir yang menjadi rebutan kedua-dua negara jiran itu.

Tawaran dibuat selepas duta Pakistan bertemu Ban dan menggesa beliau masuk campur secara peribadi, manakala India berkata ia tidak mahu memburukkan lagi keadaan.

Ban mendesak kedua-dua pihak bertahan dan mengambil langkah segera untuk mengendurkan keadaan, kata kenyataan daripada jurucakap beliau.

Ban berkata, India dan Pakistan perlu mengenal pasti perbezaan menerusi diplomasi dan dialog, dan menawarkan diri untuk menjadi orang tengah.

"Pejabatnya tersedia jika diterima kedua-dua pihak," kata jurucakap Ban.

Ketegangan antara kedua-dua negara jiran itu semakin memuncak sejak kerajaan India menuduh militan berpangkalan di Pakistan melancarkan serangan ke atas pangkalan tentera di Kashmir awal bulan ini yang mengorbankan 18 anggota tentera.

India kelmarin menyatakan ia melancarkan serangan beberapa kilometer ke dalam Kashmir yang dikawal Pakistan ke atas apa yang disifatkannya sasaran "pengganas".

"Ini adalah saat bahaya bagi rantau ini. Sudah tiba masanya beliau campur tangan jika kami mahu mengelakkan krisis, kerana boleh melihat ia semakin memuncak," kata Duta Pakistan, Maleeha Lodhi, selepas bertemu Ban di ibu pejabat PBB di New York.

Lodhi menuduh India mencetuskan keadaan yang memberi ancaman kepada keselamatan dan keamanan serantau dan antarabangsa. - AFP

Berita Harian X