Khamis, 29 September 2016 | 10:27pm

Tentera India masuk sempadan serang militan di Kashmir

ANGGOTAtentera India berkawal di sepanjang jalan di Srinagar. - Foto Reuters
ANGGOTAtentera India berkawal di sepanjang jalan di Srinagar. - Foto Reuters

NEW DELHI: India menjalankan beberapa serangan kecil terhadap militan yang disyaki cuba menyusup dari wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan, hari ini.

Ia adalah tindak balas ketenteraan secara terus buat pertama kali negara itu terhadap serangan di sebuah pangkalan tenteranya.

Pakistan berkata, dua anggota tenteranya terbunuh dalam beberapa insiden berbalas tembakan dan cubaan mematahkan serangan India itu. Namun, Islamabad menafikan India melakukan serangan menyeluruh di sempadan wilayah Himalaya itu.

Menurut ketua operasi tentera India di New Delhi, operasi merentas sempadan itu menyaksikan ramai maut.

Pada masa sama, seorang pegawai rasmi kanan lain berkata, tentera India merentasi sempadan untuk menyerang beberapa kem militan.

Pengumuman itu dilakukan selepas Perdana Menteri India, Narendra Modi memberi amaran Delhi akan memastikan mereka yang bertanggungjawab dalam serangan di pangkalan tentera di Uri, India berhampiran garisan kawalan sempadan, pada 18 September lalu, dihukum.

Dalam serangan itu, seramai 18 anggota tentera India maut.

Serangan itu turut meningkatkan kemungkinan peningkatan konflik ketenteraan di antara dua negara kuasa nuklear terbabit, yang mungkin menjejaskan perjanjian gencatan di Kashmir pada 2003. - REUTERS

Berita Harian X