Jumaat, 23 September 2016 | 9:36am
SEORANG lelaki Kashmir melintasi halangan berdekatan pangkalan tentera di Braripora. - Foto AP
SEORANG lelaki Kashmir melintasi halangan berdekatan pangkalan tentera di Braripora. - Foto AP

Pihak berkuasa pertingkat kawalan di Mumbai

NEW DELHI: Mumbai diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga pada Khamis dan operasi memburu dilancarkan di darat dan laut selepas kanak-kanak sekolah melihat lima lelaki mencurigakan berada berhampiran pangkalan tentera laut di bandar raya berkenaan.

Komando Pengawal Keselamatan Kebangsaan (NSG) ditempatkan di tiga lokasi di Mumbai dan sepasukan itu dalam keadaan bersiap sedia di New Delhi.

Operasi memburu membabitkan helikopter tentera laut dan bot peronda Pengawal Pantai itu dibuat empat hari selepas militan disyaki berpangkalan di Pakistan menyerang kem tentera di Uri, Jammu Kashmir, menyebabkan 18 anggota tentera maut.

"Saya cuma boleh mengesahkan tentera laut dalam keadaan berwaspada selepas mendapat maklumat mengenai aktiviti mencurigakan yang dilaporkan pelajar di Karanja berhampiran Mumbai," kata jurucakap Tentera Laut India, Kapten DK Sharma.

Pangkalan tentera laut terletak di Uran, kira-kira 50 kilometer dari Mumbai.

Polis berkata, mereka menutup sekolah di kawasan itu sebelum pencarian dilakukan.

Polis berkata, kawalan keselamatan dipertingkatkan di lokasi sensitif sepanjang pesisir pantai termasuk Gateway of India, Raj Bhawan, telaga gerudi di Bombay High, Pusat Penyelidikan Atom Bhabha dan pusat lain berhampiran laut. - Agensi

Berita Harian X