Isnin, 19 September 2016 | 1:22pm

Lanjutkan perang dadah kerana 'tak dapat bunuh semua'

PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto Reuters
PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto Reuters

DAVAO, Filipina: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte meminta tempoh memerangi dadah dilanjutkan selama enam bulan lagi, kerana terlalu ramai yang terbabit dengan perdagangan narkotik dan beliau mengakui tidak dapat membunuh mereka semua.

Seramai 3,000 orang dibunuh sejak Duterte menang besar dalam pilihan raya Mei lalu dan berikrar untuk menghapuskan puluhan ribu penjenayah sekali gus membersihkan negara itu dari dadah dalam masa enam bulan.

"Saya tidak sedar betapa parah dan seriusnya masalah dadah di republik ini sehinggalah saya menjadi presiden," kata Duterte, 71, kepada wartawan lewat semalam di kubu kuatnya, Davao.

Polis berkata, pihaknya sudah membunuh 1,105 suspek dadah sepanjang hampir dua bulan Duterte memimpin Filipina.

Sejumlah 2,035 lagi dibunuh oleh pihak yang tidak diketahui yang disifatkan pemerhati hak asasi manusia sebagai perbuatan penegak keadilan yang tidak mengikut undang-undang.

Usaha itu dikecam hebat antarabangsa termasuk Amerika Syarikat, parlimen Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyifatkannya sebagai pembunuhan di luar undang-undang. - AFP

Berita Harian X