Khamis, 8 September 2016 | 7:03am

Tunggu dan lihat strategi Brexit: PM Britain

THERESA May. - Foto REUTERS
THERESA May. - Foto REUTERS

LONDON: Perdana Menteri Britain Theresa May memberi amaran kepada rakyatnya hari ini, tiada jawapan segera bagaimana negara itu akan meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).

Kerajaan Konservatif itu masih belum menetapkan visinya untuk Brexit susulan undian pungutan suara 23 Jun lalu, selain mengatakan ia tidak akan memulakan rundingan rasmi keluar dengan Brussels sehingga tahun depan.

"Saya tahu ramai orang tidak sabar menyaksikan perkembangan pantas dan memahami bagaimana Britain selepas Brexit. Kita akan pergi kepada tugas penting itu," kata May kepada parlimen.

Beliau berkata: "Kami tidak akan membuat keputusan sehingga bersedia. Kami tidak akan mendedahkan sebarang tindakan sebelum masanya dan tidak akan memberi ulasan berterusan dalam setiap perkara berkaitan rundingan."

Pemimpin parti Buruh, Jeremy Corbyn berkata, ada "ketidaktentuan besar" dan satu "kekurangan perancangan luar biasa", memberi amaran mengenai peningkatan jenayah kebencian ke atas pendatang EU.

Corbyn memberi amaran bahawa "parlimen dan orang awam tidak boleh dipinggirkan" dalam perubahan perlembagaan besar-besaran.

Pembuat dasar Parti Kebangsaan Scotland Angus Robertson mencabar May memberi "jawapan kekal atau keluar" mengenai sama ada Britain akan kekal sebagai anggota penuh pasaran tunggal Eropah.

May sebaliknya enggan menjawab, hanya berkata: "Tidak bagus untuk kami menghakimi lebih awal rundingan terbabit. Kami akan memastikan merebut peluang untuk pertumbuhan dan kemakmuran di seluruh UK, termasuk pertumbuhan dan kemakmuran di Scotland." -AFP

Berita Harian X