Selasa, 6 September 2016 | 12:26pm

Polis Indonesia tumpas rangkaian pelacuran lelaki online

TIGA suspek yang dituduh terbabit dalam satu sarang pedofil online di ibu pejabat polis di Jakarta
TIGA suspek yang dituduh terbabit dalam satu sarang pedofil online di ibu pejabat polis di Jakarta

JAKARTA: Polis Indonesia berjaya menumpaskan rangkaian pelacuran lelaki online dan mengenal pasti hampir 150 belia dan remaja lelaki, sekurang-kurangnya seorang semuda 13 tahun, yang menawarkan perkhidmatan seksual.

Tiada statistik kukuh mengenai jenayah seks di Indonesia tetapi kerajaan berkata ia berhadapan 'kecemasan penderaan seks kanak-kanak.'

Presiden Joko 'Jokowi' Widodo baru-baru ini menandatangani peraturan membolehkan hukuman lebih berat dikenakan ke atas pencabul dan perogol kanak-kanak, termasuk proses mengkasi dan hukuman mati.

Ketua Siasatan Jenayah Polis, Agung Setya, berkata kebanyakan daripada 148 orang yang menawarkan perkhidmatan seksual ialah golongan bawah umur dengan termuda berusia 13 tahun dan paling tua berumur 23.

"Kami mengenal pasti 148 lagi mangsa, dan seramai 45 daripada ialah remaja lelaki," katanya, yang dipetik akhbar Kompas.

Sekurang-kurangnya tujuh mangsa diberi kaunseling dan dimasukkan ke pusat pemulihan.

Tiga lelaki ditahan minggu lalu dalam kaitan dengan kes itu, termasuk bapa ayam, dan pelanggan dipercayai warga asing, kata polis walaupun tidak memberi butiran lanjut.

Amalan homoseksual tidak diharamkan di Indonesia, kecuali di Aceh tetapi hubungan seksual dengan golongan bawah umur adalah jenayah di negara itu. - AGENSI

Berita Harian X