Rabu, 24 Ogos 2016 | 1:46am

300 maut, 6 juta terjejas, banjir di India

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 300 orang maut di timur dan tengah India, selain lebih enam juta mangsa terjejas akibat banjir, semalam.

Pihak berkuasa berkata, bencana itu turut mengakibatkan banyak kampung ditenggelami air, menghanyutkan sejumlah besar tanaman, memusnahkan jalan raya serta memutuskan bekalan elektrik dan telefon.

Hujan lebat ketika monsun menyebabkan sungai, termasuk Sungai Ganges dan anak sungai melimpah sehingga memaksa penduduk berpindah ke kem bantuan di Madhya Predesh, Bihar, Uttar Pradesh, Rajastan dan Uttarakhand.

Pegawai rasmi kerajaan di Bihar berkata, keadaan banjir itu serius.

Majistret Daerah Katihar, Zafar Rakib, berkata banjir itu menenggelamkan kawasan rendah, banyak rumah dan sebilangan besar tanaman.

Katihar adalah satu daripada 24 daerah di Bihar yang terjejas akibat bencana banjir itu. Bihar mempunyai 38 daerah. - REUTERS

Berita Harian X