Selasa, 23 Ogos 2016 | 4:13pm

Budak 12 tahun ditikam bapa kerana malas belajar

TOKYO: Seorang bapa menikam anak lelakinya sehingga mati, Ahad lalu, kerana kanak-kanak itu malas belajar menjelang satu peperiksaan penting, lapor media tempatan, hari ini.

Penyiar NHK melaporkan, Kengo Satake, 48, menyerang anaknya Ryota, 12, selepas bergaduh dengan kanak-kanak itu kerana tidak mahu belajar sebagai persediaan untuk menduduki peperiksaan masuk ke sekolah menengah rendah swasta.

Jurucakap polis bandar raya Aichi, Nagoya memberitahu AFP, Ryota dikejarkan ke hospital selepas ditikam tetapi disahkan meninggal dunia kerana kehilangan banyak darah.

"Kanak-kanak itu ditikam di dada dengan menggunakan pisau," kata jurucakap polis tanpa memberikan sebarang butiran lanjut motif serangan.

Satake ditahan selepas polis mendapat panggilan daripada pihak hospital. Dia mengaku menikam anaknya tanpa niat.

Akhbar harian Asahi Shimbun melaporkan, ibu kanak-kanak itu sedang bekerja ketika insiden itu.

Persaingan kemasukan ke sekolah terbaik di Jepun dikatakan begitu sengit. Malah kemasukan ke sebuah sekolah berprestij dilihat amat penting kerana ia memberi kesan kepada masa depan seorang kanak-kanak. - AFP

Berita Harian X